Syarat Haji


Keempat-empat mazhab dalam fahaman Ahli Sunnah Waljamaah iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan mazhab Hambali menetapkan bahawa syarat-syarat menunaikan haji adalah seperti berikut:

  •  Beragama Islam. Haji tidak diwajibkan kepada orang bukan Islam dan jika dilakukan, hajinya adalah tidak sah.
  • Merdeka. Golongan hamba sahaya tidak wajib melakukan haji.
  • Baligh. Haji adalah tidak wajib bagi kanak-kanak dan haji mereka itu sah jika dia telah mumaiyiz. Walau bagaimanapun, kefarduan haji kanak-kanak itu masih belum terlepas melainkan dilakukan setelah baligh.
  • Berakal. Orang yang gila tidak diwajibkan untuk mengerjakan haji dan jika ia dilakukan, maka hajinya tidak sah.
  • Berkemampuan. Bagi syarat ini, terdapat beberapa bahagian yang perlu dipatuhi seperti:
  1.  Berkuasa membayar semua perbelanjaan haji sehingga   selesai. 
  2. Mempunyai kenderaan untuk pergi dan balik daripada haji. 
  3. Mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya. 
  4. Keadaan perjalanan hajinya adalah aman daripada sebarang kekacauan. 
  5. Tidak mengalami sebarang masalah semasa berada dalam kenderaan.
Bagi mazhab Hambali, ia menambah dua lagi syarat iaitu sihat anggota tubuh badan dan perjalanan haji itu hendaklah aman.

RUKUN HAJI

Rukun haji merupakan suatu amalan asas yang mesti ditunaikan. Jika rukun-rukun haji tidak dilakukan, maka hajinya adalah tidak sah dan ia wajib digantikan. Rukun-rukun haji adalah seperti:

  1.    Niat ihram haji.
Lafaz niat haji hendaklah dilakukan di miqat dan jika jemaah haji sudah berada di kawasan Makkah, maka niat boleh dilafaz di kawasan itu sendiri. Selepas niat, para jemaah wajib menjaga segala amalan mereka terutamanya berkaitan amalan wajib dan larangan semasa dalam melakukan haji.
  1. Wukuf di Arafah. 
  2. Melakukan tawaf rukun (tawaf ifadhah) 
  3. Sa'ie, yakni lari-lari ayam atau berjalan cepat di antara  bukit Shafa dan Marwah. 
  4. Mencukur/menggunting rambut. Paling sedikitnya memotong tiga helai rambut. 
  5. Tertib, yakni menjalankan rukun haji secara berurutan.