Mengenai Haji


PENGENALAN

Haji (Arab/Jawi: حج Ḥajj "ziarah") ialah ziarah suci yang dilakukan umat Islam ke Makkah, Arab Saudi setiap tahun dan merupakan yang terbesar di dunia. Haji adalah rukun ke-5 yang wajib dilaksanakan seperti yang tertakluk dalam Rukun Islam, kewajipan agama ini hendaklah dilakukan oleh umat Islam sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka bagi yang berkemampuan dan larat mengerjakannya. Haji menunjukkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan Muslim serta penyerahan jiwa kepada Allah.

Perkataan "haji" berasal daripada bahasa Arab iaitu hajj (حج) yang membawa maksud ziarah ke tempat tertentu dalam waktu yang lama untuk menunaikan kewajipan agama. Dalam segi bahasa itu juga, haji boleh membawa maksud menuju kepada Allah Yang Maha Agung. Dari segi syarak pula, ia membawa maksud mengunjungi rumah Allah dalam bulan-bulan haji atas sebab melakukan pekerjaan seperti wukuf di Arafah, tawaf, sa'i dan sebagainya menurut syarat-syarat dan rukun-rukun tertentu dengan niat semata-mata kerana Allah.

Terdapat beberapa dalil mengenai ibadah haji. Antaranya adalah seperti dalam ayat ke-27, Surah al-Hajj dan ayat ke-97, Surah Ali Imran

 وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

“Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh (seluruh dunia)”

 فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadah haji dengan mengunjungi rumah Allah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya daripada sekalian alam.”

JENIS-JENIS HAJI

HAJI IFRAD

Ifrad maknanya " berasingan" jadi haji ifrad itu ialah mengerjakan haji dan umrah secara berasingan, iaitu dikerjakan haji dahulu hingga selesai dan kemudian baharulah dikerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan-bulan haji setelah itu barulah dikerjakan haji.

HAJI TAMATTU'

Tamattu' ertinya bersenang-senaNg, jadi Haji Tamattu' itu ialah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji, setelah selesai mengerjakan umrah lalu bersenang-senang dengan sebab telah tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram. Kemudian setelah sampai waktu haji berihramlah untuk mengerjakan haji pula. Haji jenis ini dikenakan DAM mengikut syarat-syaratnya.

HAJI QIRAN

Qiran ertinya bersama-sama, jadi Haji Qiran itu ialah dikerjakan kedua-dua haji dan umrah dengan serentak, iaitu dengan satu tawaf, satu sa'ie dan satu bergunting, kerana kerja-kerja umrah itu dimasukkan dalam kerja-kerja haji. Haji cara ini juga wajib melaksanakan DAM. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (iaitu Qiran) maka sahlah dia kerjakan satu tawaf dan satu sai'e sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu" (Riwayat - Tirmizi)

DAM

Dam dari segi bermaksud bahasa ialah darah. Dari segi istilah syarak pula, ia membawa maksud denda yang dikenakan kepada jemaah haji yang telah meninggalkan perkara yang wajib semasa menunaikan haji atau melanggar perkara larangan. Dam terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:-
  • Dam tertib dan takdir.
  • Dam tertib dan ta'dil.
  • Dam takhyir dan ta'dil.
  • Dam takhyir dan takdir
Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang berumrah pada bulan-bulan haji kemudian dia melakukan haji pada tahun yang sama maka dia dikenakan denda iaitu seekor kambing yang di sembelih. Sesiapa yang tidak mampu melaksanakan denda tersebut maka hendaklah dia berpuasa selama tiga hari pada waktu haji dan tujuh hari setelah mana dia sampai di tanah airnya. Maka sempurnalah sepuluh hari. Denda tersebut dikenakan kepada mereka yang bukannya penduduk tanah haram Makkah. “ (196: Al-Baqarah)