Tawaf wida’ ini bukan sahaja dilakukan oleh setiap orang yang mengerjakan haji dan umrah tetapi juga oleh orang yang hendak meninggalkan Mekah untuk bermusafir sejauh dua marhalah ataupun lebih lagi. Ini kerana bagi menghormati dan memuliakan Baitullah, berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya dan dikenakan Dam.
Satu perkara yang perlu diberikan perhatian, tawaf wida’ hanya boleh dikerjakan setelah segala-galanya siap untuk berangkat meninggalkan kota Mekah. Setelah mengerjakan tawaf wida’, kita tidak lagi dibolehkan balik ke bilik penginapan kecuali untuk tujuan sembahyang fardhu, membuang air, mengambil barang, makan atau minum. Tetapi perempuan yang haid tidak dibolehkan melakukan tawaf wida’, sebagai ganti cukuplah sekadar berdiri di hadapan pintu Masjidil Haram dan berdoa.
Waktu paling afdhal melakukan tawaf wida' ni ialah selepas solat zohor. Boleh juga dilakukan sebelum solat zohor dengan syarat tidak menghabiskan pusingan tawaf dan menyambunginya selepas selesai solat zohor. Berdoalah dengan tiga perkara utama selepas tawaf iaitu; mohon Allah terima ibadah umrah yang telah dilakukan, kedua; mohon Allah tidak jadikan umrah ini sebagai umrah terakhir, dan ketiga mohon Allah sejahterakan segala urusan selepas ini. InsyaAllah.
Baiklah, kami akan kongsikan intipati Tawaf Wida' yang wajib dilakukan kami pada tengahari nanti selepas solat zuhur di Masjidil Haram.
Apabila jemaah ingin bermusafir dan berangkat pulang, kita hendaklah tawaf di Baitullah tanpa berlari-lari anak dan tidak juga perlu intiba' serta saie. Tawaf ini dinamakan dengan tawaf Wida' dan ia adalah wajib, kemudian kita hendaklah mendirikan sembahyang sunat tawaf sebanyak dua rakaat, seterusnya sunat meminum air zamzam sambil menghadap ke arah Kaabah. Kemudian, disunatkan juga untuk pergi ke Multazam, merayu kepada Allah Taala memohon apa sahaja dari urusan dunia dan akhirat yang kita inginkan. Di dalam doa tersebut kita menyebut:
(اللهم البيت بيتك والعبد عبدك وابن عبدك وابن أمتك, حملتني على ما
سخرت لي من خلقك, وبلغتني بنعمتك حتى أعنتني على قضاء مناسكك, فإن كنت رضيت عني فزدني
منك رضا, وإلا فَمُنَّ علي بالقبول و الرضا من محض فضلك يا ذا الفضل العظيم ها أنا
منصرف بإذنك غير مستبدل بك ولا بيتك, ولا راغب عنك ولا عن بيتك).
(اللهم فأصحبني العافية في بدني والعصمة في ديني, وأحسن منقلبي, وارزقني
طاعتك ما أبقيتني, واجمع لي خيري الآخرة والدنيا إنك على كل شيء قدير).
(اللهم ارزقني العود بعد العود, المرة بعد المرة إلى بيتك الحرام, واجعلني
من المقبولين عندك يا ذا الجلال والإكرام, اللهم لا تجعله آخر العهد من بيتك الحرام
يا أرحم الراحمين).
Kemudian kita istilam (mengucapkan selamat) kepada Hajarulaswad dan kita mengucupnya atau mengisyarat kepadanya jika tidak dapat mengucupnya serta kita berjalan keluar dari Al-Haram tanpa berpaling dan bercita-cita untuk kembali semula ke Makkah. InsyaAllah.
Doa selepas tawaf (sama seperti di atas) |