Alhamdulillah, kami semua berada di dalam bas menuju perjalanan ke Baitullah dengan siap berpakaian ihram untuk mengerjakan Umrah apabila kami tiba di Masjid Haram nanti. Sebelum itu, kami perlu berhenti di Masjid Bir Ali atau dikenali Zulhulaifah untuk bermiqat niat umrah. Doakan perjalanan permusafiran kami. InsyaAllah.
Ayuh kita menambah ilmu sambil membaca kisah yang kami akan ceritakan tentang kisah perjalanan Umrah pertama Rasulullah SAW yang dihalang oleh kaum Musyrikin Mekah.
Jarak antara Madinah dan Mekah bukanlah dekat, perjalanan darat melalui kereta zaman ini jaraknya adalah kira-kira 460km. Jika berkereta ataupun bas ianya adalah sekitar 4 - 5 jam perjalanan selesa. Keadaan zaman sekarang tidak sama seperti zaman Rasululllah, zaman kita kehebatan jentera dan teknologi membantu manusia bergerak kesana kemari. Zaman kapal terbang boleh membelah awan di langit malah melepasi angkasaraya.
Zaman Rasulullah SAW dulu, jaraknya masih sama. Malah dalam catatan sejarah, jarak antara dua Tanah Haram itu dicatat sebagai 450 Batu bersamaan 724km. Mungkin ukurannya bersandarkan jalan unta yang digunakan para pedagang yang melalui kota-kota kecil atau perkampungan. Itulah jarak dua kota ini dan suatu masa dulu, Rasulullah menempuh perjalanan pada jarak itu dengan hanya menunggang unta dan berjalan kaki.
Tiada Penghawa dingin. Tiada iringan lagu dari kotak Cd. Tiada kerusi empuk. Tiada bumbung berteduh. Tiada cermin penghalang hujan & habuk. Tetapi yang ada hanya kuasa kemahuan & keinginan yang kuat untuk memenuhi hasrat dan hajat kembara perjalanan demi matlamat untuk mengerjakan ibadah umrah.
Saat itu terjadi pada awal Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Saat itu Rasulullah SAW bersama isterinya Ummu Salamah bersama kaum Muslimin yang lain bertekad mahu pergi menunaikan Umrah setelah 6 tahun meninggalkan kota Mekah. Zulkaedah bulan ibadah. Lalu, ia masa terbaik untuk pulang ke tanah kelahiran dalam keadaan aman biarpun saat itu Quraisy Mekah dan Muslimin Madinah sudah bermusuhan.
Baru 7 batu (kira-kira 11km) perjalanan, setiba di Bir Ali Rasulullah sudah mula berihram. Mengenakan hanya 2 kain putih tidak berjahit pada tubuh baginda dan segala pantang larang berihram pun dijaga. Di sini, Nabi Muhammad SAW menghantar perisik Bisyr bin Sufyan untuk ke Mekah.
Jarak ke Mekah masih jauh. Perjalanan yang mahu ditempuh pula adalah sekitar 2 minggu untuk tiba ke destinasi. Kenderaan yang ada hanyalah unta. Namun begitu kadang-kadang nabi tidak tungganginya demi memuliakannya sebagai haiwan korban yang mahu dikorbankan saat umrah nanti. Sesungguhnya ia kisah perjalanan yang payah dan lebih-lebih lagi ianya dalam aturan syarat memelihara ihram yang panjang. Namun begitu, ia kisah yang Rasul tunjukkan untuk kita belajar dan sedar bahawa hidup ini memerlukan perjuangan dan pengorbanan.
Tercatat dalam Sahih al-Bukhari sebuah kisah yang diceritakan oleh Anas bin Malik (anak Ummu Sulaym) R.A bahawa:اعتمَرَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أربعَ عُمَرٍ ، كلُّهُنَّ في ذي القَعْدَةِ ، إلا التي كانت مع حِجَّتِه : عمرةٌ مِن الحُدَيْبِيَةِ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مِن العامِ المُقْبِلِ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مِن الجُعْرَانةِ ، حيث قَسَمَ غنائمَ حُنَيْنٍ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مع حَجَّتِه.
Terjemahannya: “Rasulullah SAW telah mengerjakan umrah sebanyak 4 kali, kesemuanya pada bulan Zulkaedah, kecuali umrahnya yang disertakan dengan Haji. (Iaitu) Umrah Hudaibiyah, Umrah Tahun Berikutnya (Qadha’), Umrah Ji’ranah yang menyaksikan peristiwa Rasulullah SAWmembahagikan harta rampasan dalam peperangan Hunain dan Umrah yang disertakan dengan Haji”
Untuk pergi beribadah Umrah tahun ke 6 hijrah itu, Rasulullah dan kaum muslimin yang lain meredah panas padang pasir kering kontang sejauh 450 batu perjalanan dengan sebahagian besar muslimin yang sudah berihram serta 70 unta yang dibawa dihias indah tanpa ditunggang. Maka ianya jelas bagi memberi tahu bahawa misi ini adalah misi Umrah bukannya misi untuk mencari perbalahan.
Namun, berita rombongan ini sudah tiba ke Mekah. Quraisy mula gelabah dan bergerak mahu menghalang nabi dan muslimin masuk ke kota Mekah, biarpun ia bulan Zulkaedah bulan Haram dan bulan Ibadah. Pantang larang Zulkaedah tidak lagi mereka endah. Mereka bersiap mahu menyerang dan berperang!!
Sedangkan nabi dan muslimin yang lain pergi tanpa senjata yang dihunus keluar dari sarungnya, sedangkan pula Rasulullah sudah pun berihram dan unta-unta pun tidak ditunggangi. Sesudah 73 batu perjalanan -setiba di Rauha'- berita quraisy mahu menyerang diketahui Rasulullah dari perisik muslim yang telah dikirim sebelumnya. Lalu, di sini Rasulullah menghantar sahabat -abu Qatadah al-Ansari- yang belum berihram untuk merisik kehadiran tentera Quraisy di sekitar daerah Ghaikhah di tepi Laut Merah.
Rasulullah meneruskan kembara sambil berjanji akan bertemu kembali pasukan risikan ini di al-Saqya kira-kira 180 batu dari Madinah. Rasulullah memilih jalan yang lain. Memilih jalan yang dapat membawa rombongan agar tidak bertembung askar Quraisy yang sedang menanti untuk menyerang hendap. Tindakan bijak baginda menyelamatkan muslimin, dan mereka berjaya menjauhi bahaya tersebut. Perjalanan makin jauh, destinasi yang dituju kian hampir. Mekah kini kian dekat. Kaum Muslimin penuh bersemangat! Rindukan kaabah, rindukan rumah Allah dan rindukan halaman tanah tumpah darah kelahiran mereka.
Melihatkan kepada kesungguhan umat Islam dan tekad mereka untuk memasuki Mekah, Musyrikin Mekah menyedari bahawa taktik mereka untuk menyekat niat umat Islam memasuki Mekah pastinya tidak berhasil. Oleh yang demikian, bermulalah perbincangan dua hala antara umat Islam dan Musyrikin Mekah di Hudaibiyah dan akhirnya mencatatkan beberapa deklarasi yang disepakati oleh kedua-dua pihak. Antara intipati utama perjanjian Hudaibiyah tersebut adalah umat Islam hanya dibenarkan untuk mengerjakan Umrah pada tahun berikutnya dan bukan pada tahun tersebut.
Hal ini menyaksikan Nabi SAW mengarahkan para sahabatnya untuk menyembelih haiwan ternakan dan bercukur sebagai denda (dam) kerana mereka sudah berihram dan berniat Umrah. Sabda Nabi SAW:
قُوْمُوْا فَانْحَرُوْا، ثُمَّ احْلِقُوْ
Terjemahannya: “Segeralah kamu semua berkorban (menyembelih), kemudian cukurlah rambut kamu semua”.
Dalam catatan hadith tersebut, dinukilkan kisah selanjutnya tentang keengganan para sahabat mendengar arahan Nabi SAW akibat kekecewaan mereka terhadap beberapa keputusan Nabi SAW yang dilihat memberi kelebihan kepada Musyrikin Mekah. Sekalipun Nabi mengulangi arahannya sebanyak 3 kali, namun masih belum berupaya menggerakkan hati para sahabatnya untuk melaksanakan perintahnya. Lalu isterinya iaitu Ummu Salamah R.A menasihati Nabi SAW, katanya:
يا نبيَّ اللهِ، أَتَحُبُّ ذلك، اخرُجْ لا تُكَلِّمْ أحدًا منهم كلمةً، حتى تَنْحَرَ بُدْنَك، وتَدْعُوَ حالقَك فيَحْلِقَكَ
Terjemahannya: “Wahai Nabi Allah, adakah kau ingin mereka melaksanakan perintahmu? (Kalau begitu) Keluarlah dan jangan bercakap dengan sesiapa pun, sampailah kau menyembelih haiwan korbanmu dan memanggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu”. Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.2731.
Lantas Nabi SAW keluar dari ruangan bilik isterinya dan terus melaksanakan cadangan isterinya –Ummu Salamah-. Nabi Muhammad SAW memilih untuk menyembelih unta milik Abu Jahal yang dirampas ketika perang Badar yang lalu agar menimbulkan rasa berang orang-orang Musyrikin. Tatkala para sahabat melihat perbuatan Nabi SAW tersebut, mereka terus bergegas melakukan perkara sama sepertimana perbuatan Nabi SAW iaitu menyembelih dan bercukur. Kemudian, Nabi Muhammad dan para sahabat bersiap-siap untuk untuk pulang ke Madinah setelah menetap di Hudaibiyah selama 20 hari.
Al-Thahawi, Syarh Ma’ani al-Athar, Jil. 2 : 242. Sanadnya Sahih.
January 01, 2015
Home »
» Road To Haramain | Kisah Perjalanan Umrah Pertama Rasulullah (6)