Jom Umrah Bersama Kami

Pendaftaran Umrah 2015 bersama Massnizam Group Travel and Tours kini dibuka sekarang. Jom Umrah bersama Kami..

Barisan Penggerak Utama Mutawwif dan Petugas Umrah kali Ini

Mari beramai-ramai kita mengerjakan Umrah bersama Massnizam Group Travel and Tours..

Jom Umrah Bersama Massnizam Group

Jangan lepaskan peluang anda sebelum terlambat!!. anda juga bakal menjadi tetamu Allah...Insya-Allah.

Kenangan Jemaah Bersama Massnizam Group Di Masjid Quba

Massnizam Group menyediakan bimbingan Umrah dan memastikan kepuasan serta kegembiraan buat para jemaah semasa beribadah dan berziarah di Mekah dan Madinah.

Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah

Jemaah Umrah tidak akan lepaskan peluang untuk menziarahi makam nabi tercinta Muhammad SAW di Masjid baginda.

March 18, 2015

Tuhan Itu Dekat | Jom Umrah


Bagaimana dekatnya kita rasakan Allah SWT bersama kita?

Atau sebenarnya selama ini kita tidak pernah rasa akan dekatnya Allah SWT dengan kita? Kita sendiri, selama ini sejauh manakah usaha untuk mendekatkan diri kepadaNya?

Dekat atau jauhnya kita dengan Allah SWT hakikatnya bukan dikira dengan jarak. Ianya dikira dalam bentuk kerohanian dan emosi. Bila kita benar-benar yakin, dan hidup kita bersungguh dalam mentaati Allah SWT dan menjauhi kemurkaanNya, kita akan rasa diri kita dekat dengan Allah SWT.

Namun Allah SWT kepada kita?

Dia sentiasa dekat dan tidak pernah menjauh.


Allah SWT Lebih Hampir.

Di dalam Al-Quran, Allah SWT menggambarkan akan hampirnya Dia dengan kita.

Alah SWT berfirman:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Surah Qaf ayat 16.

Menariknya, bila membicarakan keadaan iblis dan syaitan, Rasulullah SAW telah menyatakan dalam sabdanya begini:

 “Sesungguhnya iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam menuruti pembuluh (saluran) darah.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Iblis dan syaitan bergerak menyusur pembuluh darah di dalam tubuh kita, tetapi Allah SWT telah menyatakan bahawa Dia lebih hampir dari urat nadi, yakni pembuluh darah pada leher kita. Lebih menarik bila kita kupas, urat nadi itu biasa kita terjemahkan sebagai ‘meter nyawa’ kita, yakni kita sering memeriksa keadaan urat nadi untuk memastikan seseorang itu masih bernyawa atau tidak, juga keadaan kesihatannya, dan Allah SWT lebih hampir dengan kita dari nyawa kita sendiri!

Hampirnya Allah SWT dengan kita hingga begitu sekali.

Bahkan Allah SWT sering menggambarkan kehampiranNya ini dengan ayat-ayat bahawa Dia pasti akan mendengar dan memakbulkan doa kita.

Perhatikan firman-firmanNya:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Surah Ghafir ayat 60.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Begitulah Allah SWT dengan kita. Sentiasa hampir. Sentiasa bersama. Jika ada yang benar-benar mengetahui kita 100%, bukanlah ia adalah ibu kita, bukan juga sahabat paling akrab, bukan juga isteri yang tidur sebantal, tetapi Dialah Allah, dan Allah sahaja.

Yang tidak lena, tidak mengantuk, tidak lalai dan alpa, dan sentiasa bersama dengan kita, tidak pernah meninggalkan kita sesaat pun.

Ya. Maka apabila kita merasakan Allah jauh dengan kita, siapa sebenarnya yang sedang menjarakkan dirinya?


Jauh dari Allah

Bila kita rasa bahawa Allah SWT sedang menjauh, sebenarnya kitalah yang sedang menjarakkan diri kita denganNya.

Perhatikanlah manusia-manusia yang sangat zalim dan merosakkan itu, yakni Firaun, Namrud, Abu Jahal, Kaum ‘Ad, Kaum Thamud, Kaum Nuh, mereka ini adalah manusia-manusia yang banyak melakukan keingkaran dan kerosakan.

Kasihnya Allah SWT, Dia telah menghantar rasul-rasulNya untuk menyedarkan mereka. Dia tidak terus menghukum. Dia tidak terus marah. Dia menghantarkan utusanNya, agar utusanNya dapat menunjukkan mana yang baik, dan mana yang buruk.

Begitulah juga dengan kita, hakikatnya walaupun kita ingkar dengan Allah, kita masih menderhakaiNya, Allah SWT dengan penuh kasih sayang masih menyambung lagi hari-hari kita. Membuka peluang seluas-luasnya untuk kita bertaubat. Kadangkala Dia hantarkan kepada kita orang yang menyampaikan teguran, atau buat kita ternampak nasihat dan pengajaran, kadangkala Dia uji kita sedikit supaya kita tersedar. Macam-macam.

Persoalan yang sebenar adalah kita.

Kita dengan Allah bagaimana?

Sebab itu guru saya bernama Samirah Tohir ada berkata: “Jika kamu mahu tahu di manakah dirimu di sisi Allah, lihatlah di mana kamu letakkan Allah di hatimu.”

Bila kita buat tidak endah dengan Allah SWT, kita melazimi dosa-dosa, kita lambat menyempurnakan perintah-perintahNya, kita terus-terusan menderhakaiNya, memang automatik kita rasa jauh daripada Allah SWT.

Sedangkan sebenarnya Allah tidak menjauh dari kita pun.

Maka apa yang perlu kita laksanakan?


Kitalah Yang Perlu Mendekat

Menyedari perkara ini, hendaklah kita sendiri menyusun usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Memulakan langkahan perubahan, dengan menambah amal-amal soleh dan mengurangkan amal-amal kejahatan.

Kita mula berdoa, memohon kekuatan iman, memohon rezeki untuk beramal, memohon istiqomah dalam usaha penambah baikan.

Kita mula banyak mengadu dan berharap kepada Allah SWT akan segala hal, zikir mula kita biasakan, ibadah mula kita perkemaskan.

Kitalah yang perlu mengusahakan semua itu, mendekatkan jarak antara kita dengan Allah SWT.

Dan tahukah kita, akan kasih Allah SWT kepada kita?

Perhatikan hadith ini:

  “Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di sebuah majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan pantas.” Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibn Majah.

Justeru mengapa kita masih berlengah dan terus menerus menjarakkan diri?

Merapatlah.

Allah SWT yang Maha Besar itu mengalu-alukan kita, dan tidak pernah pun menjauh.

Allah itu hampir, jangan kita meminggir!


**Nukilan ini di ambil dari penulis terkenal bernama Hilal Asyraf di laman web miliknya  langitilahi.com