January 03, 2015

Road To Haramain | Pertemuan Adam & Hawa (8)

Allahumma solli 'ala Muhammad..Alhamdulillah. Pagi tadi jam 7.30 kami berkumpul di lobi hotel setelah siap bersarapan dan solat subuh berjemaah di Masjidil Haram. Subhanallah. Begitu ramai tetamu-tetamu Allah yang hadir sewaktu solat subuh tadi. Besar pahala mereka yang bersungguh melaksanakan ibadah fardu ini. Tetapi alangkah ruginya orang di luar sana yang masih meninggalkan solat dengan sengaja. Allahu rabbi. Semoga kita serta keluarga terhindar daripada mengabaikan perintah Allah.


Pagi ini kami meneruskan aktiviti kami dengan melakukan ziarah ke tempat-tempat seperti Jabal Rahmah, Mina, Muzdalifah, Arafah, dan Jabal Nur. Jemaah yang ingin mengerjakan umrah kali ke-2 juga mereka dinasihatkan memakai pakaian ihram terus dari hotel sebelum bergerak untuk ziarah dan mereka ini akan berniat ihramnya di miqat Ja'ranah. 




Jabal Rahmah 

Tidak lengkap rasanya ziarah ke Tanah Suci Mekah ini jika tidak singgah di Jabal Rahmah, bukit yang ada di sekitar Padang Arafah. Di Jabal Rahmah inilah diriwayatkan sebagai tempat bertemunya Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah 100 tahun diturunkan dari langit ke bumi. Sehingga kini, bukit ini masih utuh dan tersergam dengan sebuah tugu monumen di puncaknya. Banyak jemaah yang naik ke bukit ini untuk melawat atau berdoa di situ.


Jabal Rahmah terletak 25 km di tenggara kota Mekah, ianya termasuk dalam wilayah Arafah. Di puncak Jabal Rahmah ada sebuah tugu yang menandakan titik atau tempat pertemuan itu. Tinggi tugu tersebut lebih kurang 8-10 meter. Untuk sampai ke tempat tugu itu, jaraknya hanya 150 meter dari kaki bukit. Masa yang diperlukan untuk sampai ke puncak itu adalah diantara 15-20 minit untuk mendakinya.

Di kaki bukit, banyak unta yang telah dihiasi dengan pelbagai hiasan berkelihatan untuk dijaja oleh tuan punya unta tersebut. Unta yang dihiasi bunga berwarna-warni begitu mengghairahkan, bersedia untuk dinaikki pengunjung dan mengambil gambar bersama. Untuk bergambar bersama unta ini, pengunjung dikenakan bayaran 15 riyal bagi sekali tunggangan dan gambar-gambar yang diambil terus sahaja ready dan tanpa negative/film.

Jabal Rahmah yang bererti bukit penuh rahmat, selalu dipenuhi pengunjung kerana mempunyai sejarah penting dalam Islam. Konon, di tempat ini merupakan tempat terbaik untuk berdoa meminta jodoh. Dikatakan, apabila seseorang berdoa di atas bukit ini untuk meminta pasangan hidup, nescaya doanya dikabulkan Allah. Wallahualam. Jemaah juga boleh membeli cenderahati seperti tasbih, aneka batu cincin, key chain dan sebagainya di Jabal Rahmah ini. 


Di Bawah Bukit Jabal Rahmah
Ikuti sambungan entri kami yang akan menceritakan kisah Gua Hira' di Jabal Nur beserta gambar-gambar jemaah Massnizam Group. InsyaAllah ~Kembara Sufi Memetik Redha Ilahi~