January 01, 2015

Road To Haramain | Talbiyah Menuju Kaabah (6)

Kami teringat ketika mula-mula sampai menjejakkan kaki ke bumi Madinah, perasaan yang penuh teruja dan gembira kerana kami dapat peluang untuk beribadah dan mengunjungi maqam nabi di Masjid Nabawi. Alhamdulillah. 

Tetapi, masa berlalu dan tidak mengizinkan kami untuk lebih lama berada di bandarnya nabi ini. Ini kerana kami akan berangkat menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah yang lebih utama lagi. Malam tadi, sambil makan malam terakhir di sini, kami juga diberi taklimat keberangkatan ke Mekah oleh ustaz Nizam Noh dan tazkirah penyucian hati oleh ustaz Abdullah Asri, penuntut di Universiti Madinah. 
















Pagi ini kami digalakkan untuk membuat ziarah wida' Rasulullah di Masjid Nabawi sebagai ziarah terakhir pada kali ini sebelum kami berangkat menuju ke Mekah. Kami juga digalakkan membaca doa ketika wida' nabi dan wida' Madinah. Doa itu boleh di baca seperti di bawah ini. Doa ini juga boleh dibaca ketika wida' nabi dan tawaf wida' di Mekah nanti cuma bezanya wida' nabi bukan satu kewajipan seperti tawaf wida' di mana ianya wajib bagi orang yang ingin keluar dari tanah haram Mekah sejauh 2 marhalah.


"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarah kami ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagi kami kepadanya ziarah untuk kesekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan. Jika kami mampu, Insya Allah kami datang lagi. Jika kami mati, titipkanlah pada sisiMu syahadah (kesaksian, amanah, perjanjian, dan timbangan kami) pada hari itu untuk kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambaNya lagi utusanNya. Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan (Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam."

Alhamdulillah..setelah selesai semua kami bersiap-siap untuk berangkat ke Masjidil Haram, Mekah. Belum lagi berangkat kami dah mula rasa rindu untuk ke Masjid Nabi lagi. Sungguh hebat perasaan ini tatkala hebat dan kuatnya cinta Nabi kepada umatnya. Bagaimana pula cinta kita kepada Nabi? Moga kekal perasaan rindu dan cinta ini selamanya..Moga kami berkesempatan mengunjungimu lagi duhai Rasulullah....

Kami bertolak ke Mekah ketika selepas waktu zuhur lebih kurang jam 3 petang waktu sini. Dalam perjalanan kami bertalbiyah dan berzikir untuk memenuhi masa kami dengan ibadah dan zikrullah. Jarak dari Madinah ke Mekah kira-kira 460km sekitar 4-5 jam perjalanan selesa. Ayuh, mari kita bertalbiyah!



Ikuti kisah perjalanan umrah nabi SAW suatu ketika dahulu yang kami akan ceritakan pada sambungan entri ini selepas ini..Insya-Allah.