Jom Umrah Bersama Kami

Pendaftaran Umrah 2015 bersama Massnizam Group Travel and Tours kini dibuka sekarang. Jom Umrah bersama Kami..

Barisan Penggerak Utama Mutawwif dan Petugas Umrah kali Ini

Mari beramai-ramai kita mengerjakan Umrah bersama Massnizam Group Travel and Tours..

Jom Umrah Bersama Massnizam Group

Jangan lepaskan peluang anda sebelum terlambat!!. anda juga bakal menjadi tetamu Allah...Insya-Allah.

Kenangan Jemaah Bersama Massnizam Group Di Masjid Quba

Massnizam Group menyediakan bimbingan Umrah dan memastikan kepuasan serta kegembiraan buat para jemaah semasa beribadah dan berziarah di Mekah dan Madinah.

Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah

Jemaah Umrah tidak akan lepaskan peluang untuk menziarahi makam nabi tercinta Muhammad SAW di Masjid baginda.

January 03, 2015

Road To Haramain | Pertemuan Adam & Hawa (8)

Allahumma solli 'ala Muhammad..Alhamdulillah. Pagi tadi jam 7.30 kami berkumpul di lobi hotel setelah siap bersarapan dan solat subuh berjemaah di Masjidil Haram. Subhanallah. Begitu ramai tetamu-tetamu Allah yang hadir sewaktu solat subuh tadi. Besar pahala mereka yang bersungguh melaksanakan ibadah fardu ini. Tetapi alangkah ruginya orang di luar sana yang masih meninggalkan solat dengan sengaja. Allahu rabbi. Semoga kita serta keluarga terhindar daripada mengabaikan perintah Allah.


Pagi ini kami meneruskan aktiviti kami dengan melakukan ziarah ke tempat-tempat seperti Jabal Rahmah, Mina, Muzdalifah, Arafah, dan Jabal Nur. Jemaah yang ingin mengerjakan umrah kali ke-2 juga mereka dinasihatkan memakai pakaian ihram terus dari hotel sebelum bergerak untuk ziarah dan mereka ini akan berniat ihramnya di miqat Ja'ranah. 




Jabal Rahmah 

Tidak lengkap rasanya ziarah ke Tanah Suci Mekah ini jika tidak singgah di Jabal Rahmah, bukit yang ada di sekitar Padang Arafah. Di Jabal Rahmah inilah diriwayatkan sebagai tempat bertemunya Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah 100 tahun diturunkan dari langit ke bumi. Sehingga kini, bukit ini masih utuh dan tersergam dengan sebuah tugu monumen di puncaknya. Banyak jemaah yang naik ke bukit ini untuk melawat atau berdoa di situ.


Jabal Rahmah terletak 25 km di tenggara kota Mekah, ianya termasuk dalam wilayah Arafah. Di puncak Jabal Rahmah ada sebuah tugu yang menandakan titik atau tempat pertemuan itu. Tinggi tugu tersebut lebih kurang 8-10 meter. Untuk sampai ke tempat tugu itu, jaraknya hanya 150 meter dari kaki bukit. Masa yang diperlukan untuk sampai ke puncak itu adalah diantara 15-20 minit untuk mendakinya.

Di kaki bukit, banyak unta yang telah dihiasi dengan pelbagai hiasan berkelihatan untuk dijaja oleh tuan punya unta tersebut. Unta yang dihiasi bunga berwarna-warni begitu mengghairahkan, bersedia untuk dinaikki pengunjung dan mengambil gambar bersama. Untuk bergambar bersama unta ini, pengunjung dikenakan bayaran 15 riyal bagi sekali tunggangan dan gambar-gambar yang diambil terus sahaja ready dan tanpa negative/film.

Jabal Rahmah yang bererti bukit penuh rahmat, selalu dipenuhi pengunjung kerana mempunyai sejarah penting dalam Islam. Konon, di tempat ini merupakan tempat terbaik untuk berdoa meminta jodoh. Dikatakan, apabila seseorang berdoa di atas bukit ini untuk meminta pasangan hidup, nescaya doanya dikabulkan Allah. Wallahualam. Jemaah juga boleh membeli cenderahati seperti tasbih, aneka batu cincin, key chain dan sebagainya di Jabal Rahmah ini. 


Di Bawah Bukit Jabal Rahmah
Ikuti sambungan entri kami yang akan menceritakan kisah Gua Hira' di Jabal Nur beserta gambar-gambar jemaah Massnizam Group. InsyaAllah ~Kembara Sufi Memetik Redha Ilahi~

January 02, 2015

Road To Haramain | Umrah Yang Dinanti-nantikan (7)

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Semalam perjalanan kami dari Madinah ke Mekah dipermudahkan oleh Allah. Kami telah berhenti di Bir Ali untuk bermiqat dan berniat ihram. Bermula dari situ tertakluklah kami dengan larangan-larangan di dalam ihram. Dalam perjalanan menuju ke Mekah juga kami berhenti untuk rehat serta solat maghrib dan isya secara jama' dan qasar di hentian Alafrah. Alhamdulillah malam itu juga kami telah selamat tiba di Makkah Al-Mukarramah dan menetap di Hotel Saif Al-Yamani.

Pagi ini setelah kami bersarapan, tibalah masa yang ditunggu-tunggu kami semua iaitu untuk mengerjakan Umrah wajib yang dipimpin oleh Ustaz Tn Hj Nizam Noh. Sebelum bergerak secara berkumpulan ke Masjidil Haram, kami turut diberi taklimat serta panduan yang penting sebelum ingin melaksanakan ibadah Umrah.





Kami akan kongsikan kepada pembaca dan jemaah panduan ringkas umrah yang perlu dilakukan kami semasa ingin mengerjakan umrah. Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas.

Dari Jabir ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Satu solat di masjid aku lebih afdhal daripada 1,000 solat di Masjid-masjid yang lain, kecuali masjidi haram (di Mekkah), dan satu solat di masjidil haram pula lebih afdhal daripada 100,000 solat di masjid-masjid yang lain”
-(HR Imam Ahmad- hadis soheh)


Jemaah juga mengambil peluang untuk berdoa di tempat-tempat yang mustajab doa di sekitar kaabah. Walaupun hakikatnya keseluruhan tempat dalam Masjidil Haram doa boleh dikabulkan Allah sebagaimana firmanNya:  
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepada-Ku (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina” (al-Mukmin: 60).
Tempat-tempat mustajab doa

Rujukan No untuk gambar di atas
Alhamdulillah. Begitu besar kelebihannya tetamu jemputan Allah ini. Segala ibadah zikir dan sunat digandakan pahalanya apatah lagi ibadah yang wajib. Semoga urusan ibadah kami dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah. Semoga ibadah umrah kami diterima Allah dengan pahala dan balasan syurga mudah-mudahan..amiin.














Hari ini di Malaysia bersamaan 12 Rabiul awwal. Hari kelahiran Nabi Besar Junjungan Mulia.. Mari kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke Atas baginda. Semoga Rasulullah akan memberikan syafaatnya kepada kita semua di akhirat kelak...Semoga bumi Madinah sudi menjadi saksi atas ziarah kita terhadap Nabi Muhammad SAW...
صلوا على النبي، اللهم صل على محمد

January 01, 2015

Road To Haramain | Kisah Perjalanan Umrah Pertama Rasulullah (6)

Alhamdulillah, kami semua berada di dalam bas menuju perjalanan ke Baitullah dengan siap berpakaian ihram untuk mengerjakan Umrah apabila kami tiba di Masjid Haram nanti. Sebelum itu, kami perlu berhenti di Masjid Bir Ali atau dikenali Zulhulaifah untuk bermiqat niat umrah. Doakan perjalanan permusafiran kami. InsyaAllah.




Ayuh kita menambah ilmu sambil membaca kisah yang kami akan ceritakan tentang kisah perjalanan Umrah pertama Rasulullah SAW yang dihalang oleh kaum Musyrikin Mekah. 

Jarak antara Madinah dan Mekah bukanlah dekat, perjalanan darat melalui kereta zaman ini jaraknya adalah kira-kira 460km. Jika berkereta ataupun bas ianya adalah sekitar 4 - 5 jam perjalanan selesa. Keadaan zaman sekarang tidak sama seperti zaman Rasululllah, zaman kita kehebatan jentera dan teknologi membantu manusia bergerak kesana kemari. Zaman kapal terbang boleh membelah awan di langit malah melepasi angkasaraya.

Zaman Rasulullah SAW dulu, jaraknya masih sama. Malah dalam catatan sejarah, jarak antara dua Tanah Haram itu dicatat sebagai 450 Batu bersamaan 724km. Mungkin ukurannya bersandarkan jalan unta yang digunakan para pedagang yang melalui kota-kota kecil atau perkampungan. Itulah jarak dua kota ini dan suatu masa dulu, Rasulullah menempuh perjalanan pada jarak itu dengan hanya menunggang unta dan berjalan kaki.

Tiada Penghawa dingin. Tiada iringan lagu dari kotak Cd. Tiada kerusi empuk. Tiada bumbung berteduh. Tiada cermin penghalang hujan & habuk. Tetapi yang ada hanya kuasa kemahuan & keinginan yang kuat untuk memenuhi hasrat dan hajat kembara perjalanan demi matlamat untuk mengerjakan ibadah umrah.

Saat itu terjadi pada awal Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Saat itu Rasulullah SAW bersama isterinya Ummu Salamah bersama kaum Muslimin yang lain bertekad mahu pergi menunaikan Umrah setelah 6 tahun meninggalkan kota Mekah. Zulkaedah bulan ibadah. Lalu, ia masa terbaik untuk pulang ke tanah kelahiran dalam keadaan aman biarpun saat itu Quraisy Mekah dan Muslimin Madinah sudah bermusuhan.

Baru 7 batu (kira-kira 11km) perjalanan, setiba di Bir Ali Rasulullah sudah mula berihram. Mengenakan hanya 2 kain putih tidak berjahit pada tubuh baginda dan segala pantang larang berihram pun dijaga. Di sini, Nabi Muhammad SAW menghantar perisik Bisyr bin Sufyan untuk ke Mekah.

Jarak ke Mekah masih jauh. Perjalanan yang mahu ditempuh pula adalah sekitar 2 minggu untuk tiba ke destinasi. Kenderaan yang ada hanyalah unta. Namun begitu kadang-kadang nabi tidak tungganginya demi memuliakannya sebagai haiwan korban yang mahu dikorbankan saat umrah nanti. Sesungguhnya ia kisah perjalanan yang payah dan lebih-lebih lagi ianya dalam aturan syarat memelihara ihram yang panjang. Namun begitu, ia kisah yang Rasul tunjukkan untuk kita belajar dan sedar bahawa hidup ini memerlukan perjuangan dan pengorbanan.

Tercatat dalam Sahih al-Bukhari sebuah kisah yang diceritakan oleh Anas bin Malik (anak Ummu Sulaym) R.A bahawa:
اعتمَرَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أربعَ عُمَرٍ ، كلُّهُنَّ في ذي القَعْدَةِ ، إلا التي كانت مع حِجَّتِه : عمرةٌ مِن الحُدَيْبِيَةِ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مِن العامِ المُقْبِلِ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مِن الجُعْرَانةِ ، حيث قَسَمَ غنائمَ حُنَيْنٍ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مع حَجَّتِه.

Terjemahannya: “Rasulullah SAW telah mengerjakan umrah sebanyak 4 kali, kesemuanya pada bulan Zulkaedah, kecuali umrahnya yang disertakan dengan Haji. (Iaitu) Umrah Hudaibiyah, Umrah Tahun Berikutnya (Qadha’), Umrah Ji’ranah yang menyaksikan peristiwa Rasulullah SAWmembahagikan harta rampasan dalam peperangan Hunain dan Umrah yang disertakan dengan Haji”

Untuk pergi beribadah Umrah tahun ke 6 hijrah itu, Rasulullah dan kaum muslimin yang lain meredah panas padang pasir kering kontang sejauh 450 batu perjalanan dengan sebahagian besar muslimin yang sudah berihram serta 70 unta yang dibawa dihias indah tanpa ditunggang. Maka ianya jelas bagi memberi tahu bahawa misi ini adalah misi Umrah bukannya misi untuk mencari perbalahan.

Namun, berita rombongan ini sudah tiba ke Mekah. Quraisy mula gelabah dan bergerak mahu menghalang nabi dan muslimin masuk ke kota Mekah, biarpun ia bulan Zulkaedah bulan Haram dan bulan Ibadah. Pantang larang Zulkaedah tidak lagi mereka endah. Mereka bersiap mahu menyerang dan berperang!!

Sedangkan nabi dan muslimin yang lain pergi tanpa senjata yang dihunus keluar dari sarungnya, sedangkan pula Rasulullah sudah pun berihram dan unta-unta pun tidak ditunggangi. Sesudah 73 batu perjalanan -setiba di Rauha'- berita quraisy mahu menyerang diketahui Rasulullah dari perisik muslim yang telah dikirim sebelumnya. Lalu, di sini Rasulullah menghantar sahabat -abu Qatadah al-Ansari- yang belum berihram untuk merisik kehadiran tentera Quraisy di sekitar daerah Ghaikhah di tepi Laut Merah. 


Rasulullah meneruskan kembara sambil berjanji akan bertemu kembali pasukan risikan ini di al-Saqya kira-kira 180 batu dari Madinah. Rasulullah memilih jalan yang lain. Memilih jalan yang dapat membawa rombongan agar tidak bertembung askar Quraisy yang sedang menanti untuk menyerang hendap. Tindakan bijak baginda menyelamatkan muslimin, dan mereka berjaya menjauhi bahaya tersebut. Perjalanan makin jauh, destinasi yang dituju kian hampir. Mekah kini kian dekat. Kaum Muslimin penuh bersemangat! Rindukan kaabah, rindukan rumah Allah dan rindukan halaman tanah tumpah darah kelahiran mereka.

Melihatkan kepada kesungguhan umat Islam dan tekad mereka untuk memasuki Mekah, Musyrikin Mekah menyedari bahawa taktik mereka untuk menyekat niat umat Islam memasuki Mekah pastinya tidak berhasil. Oleh yang demikian, bermulalah perbincangan dua hala antara umat Islam dan Musyrikin Mekah di Hudaibiyah dan akhirnya mencatatkan beberapa deklarasi yang disepakati oleh kedua-dua pihak. Antara intipati utama perjanjian Hudaibiyah tersebut adalah umat Islam hanya dibenarkan untuk mengerjakan Umrah pada tahun berikutnya dan bukan pada tahun tersebut. 


Hal ini menyaksikan Nabi SAW mengarahkan para sahabatnya untuk menyembelih haiwan ternakan dan bercukur sebagai denda (dam) kerana mereka sudah berihram dan berniat Umrah. Sabda Nabi SAW:

قُوْمُوْا فَانْحَرُوْا، ثُمَّ احْلِقُوْ

Terjemahannya: “Segeralah kamu semua berkorban (menyembelih), kemudian cukurlah rambut kamu semua”.

Dalam catatan hadith tersebut, dinukilkan kisah selanjutnya tentang keengganan para sahabat mendengar arahan Nabi SAW akibat kekecewaan mereka terhadap beberapa keputusan Nabi SAW yang dilihat memberi kelebihan kepada Musyrikin Mekah. Sekalipun Nabi mengulangi arahannya sebanyak 3 kali, namun masih belum berupaya menggerakkan hati para sahabatnya untuk melaksanakan perintahnya. Lalu isterinya iaitu Ummu Salamah R.A menasihati Nabi SAW, katanya:

يا نبيَّ اللهِ، أَتَحُبُّ ذلك، اخرُجْ لا تُكَلِّمْ أحدًا منهم كلمةً، حتى تَنْحَرَ بُدْنَك، وتَدْعُوَ حالقَك فيَحْلِقَكَ

Terjemahannya: “Wahai Nabi Allah, adakah kau ingin mereka melaksanakan perintahmu? (Kalau begitu) Keluarlah dan jangan bercakap dengan sesiapa pun, sampailah kau menyembelih  haiwan korbanmu dan memanggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu”. Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.2731.

Lantas Nabi SAW keluar dari ruangan bilik isterinya dan terus melaksanakan cadangan isterinya –Ummu Salamah-. Nabi Muhammad SAW memilih untuk menyembelih unta milik Abu Jahal yang dirampas ketika perang Badar yang lalu agar menimbulkan rasa berang orang-orang Musyrikin. Tatkala para sahabat melihat perbuatan Nabi SAW tersebut, mereka terus bergegas melakukan perkara sama sepertimana perbuatan Nabi SAW iaitu menyembelih dan bercukur. Kemudian, Nabi Muhammad dan para sahabat bersiap-siap untuk untuk pulang ke Madinah setelah menetap di Hudaibiyah selama 20 hari. 

Al-Thahawi, Syarh Ma’ani al-Athar, Jil. 2 : 242. Sanadnya Sahih.

Road To Haramain | Talbiyah Menuju Kaabah (6)

Kami teringat ketika mula-mula sampai menjejakkan kaki ke bumi Madinah, perasaan yang penuh teruja dan gembira kerana kami dapat peluang untuk beribadah dan mengunjungi maqam nabi di Masjid Nabawi. Alhamdulillah. 

Tetapi, masa berlalu dan tidak mengizinkan kami untuk lebih lama berada di bandarnya nabi ini. Ini kerana kami akan berangkat menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah yang lebih utama lagi. Malam tadi, sambil makan malam terakhir di sini, kami juga diberi taklimat keberangkatan ke Mekah oleh ustaz Nizam Noh dan tazkirah penyucian hati oleh ustaz Abdullah Asri, penuntut di Universiti Madinah. 
















Pagi ini kami digalakkan untuk membuat ziarah wida' Rasulullah di Masjid Nabawi sebagai ziarah terakhir pada kali ini sebelum kami berangkat menuju ke Mekah. Kami juga digalakkan membaca doa ketika wida' nabi dan wida' Madinah. Doa itu boleh di baca seperti di bawah ini. Doa ini juga boleh dibaca ketika wida' nabi dan tawaf wida' di Mekah nanti cuma bezanya wida' nabi bukan satu kewajipan seperti tawaf wida' di mana ianya wajib bagi orang yang ingin keluar dari tanah haram Mekah sejauh 2 marhalah.


"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarah kami ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagi kami kepadanya ziarah untuk kesekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan. Jika kami mampu, Insya Allah kami datang lagi. Jika kami mati, titipkanlah pada sisiMu syahadah (kesaksian, amanah, perjanjian, dan timbangan kami) pada hari itu untuk kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambaNya lagi utusanNya. Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan (Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam."

Alhamdulillah..setelah selesai semua kami bersiap-siap untuk berangkat ke Masjidil Haram, Mekah. Belum lagi berangkat kami dah mula rasa rindu untuk ke Masjid Nabi lagi. Sungguh hebat perasaan ini tatkala hebat dan kuatnya cinta Nabi kepada umatnya. Bagaimana pula cinta kita kepada Nabi? Moga kekal perasaan rindu dan cinta ini selamanya..Moga kami berkesempatan mengunjungimu lagi duhai Rasulullah....

Kami bertolak ke Mekah ketika selepas waktu zuhur lebih kurang jam 3 petang waktu sini. Dalam perjalanan kami bertalbiyah dan berzikir untuk memenuhi masa kami dengan ibadah dan zikrullah. Jarak dari Madinah ke Mekah kira-kira 460km sekitar 4-5 jam perjalanan selesa. Ayuh, mari kita bertalbiyah!



Ikuti kisah perjalanan umrah nabi SAW suatu ketika dahulu yang kami akan ceritakan pada sambungan entri ini selepas ini..Insya-Allah.