Jom Umrah Bersama Kami

Pendaftaran Umrah 2015 bersama Massnizam Group Travel and Tours kini dibuka sekarang. Jom Umrah bersama Kami..

Barisan Penggerak Utama Mutawwif dan Petugas Umrah kali Ini

Mari beramai-ramai kita mengerjakan Umrah bersama Massnizam Group Travel and Tours..

Jom Umrah Bersama Massnizam Group

Jangan lepaskan peluang anda sebelum terlambat!!. anda juga bakal menjadi tetamu Allah...Insya-Allah.

Kenangan Jemaah Bersama Massnizam Group Di Masjid Quba

Massnizam Group menyediakan bimbingan Umrah dan memastikan kepuasan serta kegembiraan buat para jemaah semasa beribadah dan berziarah di Mekah dan Madinah.

Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah

Jemaah Umrah tidak akan lepaskan peluang untuk menziarahi makam nabi tercinta Muhammad SAW di Masjid baginda.

January 07, 2015

Road To Haramain | Kepulangan Kami Ke Malaysia (12)

Alhamdulillah, setelah siap kesemua urusan dan tawaf wida', akhirnya kini tiba masanya untuk kami pulang ke tanah air. Sesungguhnya berada hampir 13 hari di Arab Saudi ini begitu banyak kenangan, kerinduan yang kami rasakan seolah-olah kami mahu lebih lama tinggal di sini. Ya Allah, engkau yang maha mengembalikan.. Kurniakan kami kesihatan, kelapangan masa, kekayaan rezeki dan kekuatan fizikal agar kami dapat kembali lagi menjadi tetamuMu dan menziarahi kekasihMu.. Amiin allahumma amiin.

Perjalanan ke Airport King Abdul Aziz Jeddah dari Mekah mengambil masa lebih kurang 2 jam. Dalam perjalanan, bas berhenti di sebuah masjid (berdekatan dengan Jeddah) bagi membolehkan jemaah solat asar dan menjamu selera dengan bekalan nasi yang disediakan oleh pihak pengurusan. Makan secara berjemaah ini sungguh menyelerakan dan melazatkan. Alhamdulillah.









Alhamdulillah, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Hujjaj, Jeddah. Jemaah mengambil kesempatan untuk berehat dan bersiar-siar di Terminal lapangan terbang sebelum menunggu untuk check-in masuk barang-barang. Apabila kaunter check-in telah dibuka untuk flight kami, kami mendaftar di kaunter dan apa yang tidak dijangkakan ianya mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan kesemua urusan check-in jemaah sehingga flight terpaksa menunggu kami dan melewatkan penerbangan. Alhamdulillah Allah telah permudahkan urusan. 



















Khabaran terkini alhamdulillah kami telah selamat mendarat untuk transit di Meldive Ibrahim Nasir Airport. InsyaAllah perjalanan akan disambung semula menuju ke Kuala Lumpur, Malaysia dan dijangka akan tiba di sana jam 3++ petang. InsyaAllah. Doakan keselamatan perjalanan kami dan nantikan kepulangan kami yang dirindui seisi keluarga.

January 06, 2015

Road To Haramain | Panduan Tawaf Wida' (11)

Bismillah.. Hari ini merupakan hari terakhir kami di Makkah sebelum bertolak pulang menaiki flight malam ini jam 11 malam. InsyaAllah pagi ini kami hanya bersiap mengemas barang serta membeli keperluan terakhir sebelum melakukan tawaf wida'. Malam tadi juga telah diadakan Taklimat Pergerakan dan Keberangkatan Pulang Jemaah serta Majlis Perpisahan.







Tawaf wida’ ini bukan sahaja dilakukan oleh setiap orang yang mengerjakan haji dan umrah tetapi juga oleh orang yang hendak meninggalkan Mekah untuk bermusafir sejauh dua marhalah ataupun lebih lagi. Ini kerana bagi menghormati dan memuliakan Baitullah, berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya dan dikenakan Dam.

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian, tawaf wida’ hanya boleh dikerjakan setelah segala-galanya siap untuk berangkat meninggalkan kota Mekah. Setelah mengerjakan tawaf wida’, kita tidak lagi dibolehkan balik ke bilik penginapan kecuali untuk tujuan sembahyang fardhu, membuang air, mengambil barang, makan atau minum. Tetapi perempuan yang haid tidak dibolehkan melakukan tawaf wida’, sebagai ganti cukuplah sekadar berdiri di hadapan pintu Masjidil Haram dan berdoa.


Waktu paling afdhal melakukan tawaf wida' ni ialah selepas solat zohor. Boleh juga dilakukan sebelum solat zohor dengan syarat tidak menghabiskan pusingan tawaf dan menyambunginya selepas selesai solat zohor. Berdoalah dengan tiga perkara utama selepas tawaf iaitu; mohon Allah terima ibadah umrah yang telah dilakukan, kedua; mohon Allah tidak jadikan umrah ini sebagai umrah terakhir, dan ketiga mohon Allah sejahterakan segala urusan selepas ini. InsyaAllah.

Baiklah, kami akan kongsikan intipati Tawaf Wida' yang wajib dilakukan kami pada tengahari nanti selepas solat zuhur di Masjidil Haram. 

January 05, 2015

Road To Haramain | Perjalanan Kembara Sufi Di Mekah (10)

Bismillah.. Alhamdulillah malam tadi telah sempurna majlis kenduri yang kami laksanakan untuk para jemaah Massnizam Group. Telah selamat 12 ekor kambing dikorbankan yang dibuat untuk aqiqah dan dam daripada jemaah Massnizam Group. Semoga Allah terima amalan aqiqah dan korban para jemaah serta kami mengucapkan terima kasih dan jazakumullah kepada penyumbang kambing tersebut.

Seterusnya malam tadi majlis di mulakan dengan sambutan hari lahir kepada para jemaah yang lahir pada bulan disember 2014 dan januari 2015. Khususnya yang lahir dalam tarikh program "Road To Haramain". Kemudian bacaan doa selamat dan setelah itu, para jemaah menjamu selera dengan kek dan lauk hidangan yang disediakan serta hidangan utama malam itu; Kari Kambing! kesedapannya tidak terkata hingga menjilat jari hehe. 










Alhamdulillah, pagi tadi setelah berkumpul dan siap bersarapan kami bertolak untuk pergi membeli belah di pasar buah segar dan pasar kurma Kakkiyyah. Pelbagai jenis buah-buahan yang dijual seperti kurma, buah thiin, nenas kekacang dan macam-macam lagi. Harga pun dijual dengan murah dan berpatutan. 






Setelah itu, kami pergi menziarah di Hudaibiyah yang merupakan tempat miqat pertama Nabi SAW. Dari sana kita boleh lihat tinggalan masjid lama yang dahulunya pernah digunakan nabi SAW dan para muslimin Madinah sewaktu mengerjakan Umrah ketika dahulu. Para jemaah Massnizam Group yang ingin mengerjakan Umrah juga mengambil peluang dan kesempatan untuk berniat ihram di Masjid Hudaibiyah. 









Setelah melawat dan berihram di Hudaibiyah, para jemaah meneruskan perjalanan menuju ke Muzium Haramain. Di sini kami dapat melihat sejarah-sejarah penting di Mekah dan Madinah seperti perluasan masjidil haram, telaga zamzam, penenunan kain kelambu kaabah, masjid nabawi, mimbar, jam dan sebagainya. Sudah pasti kita akan teruja dan beroleh ilmu semasa membuat lawatan di sini. Alhamdulillah.










p/s: Ladang unta tidak dapat dibuat lawatan kerana ladang tersebut masih di quarantine akibat Mers Co V.

January 04, 2015

Road To Haramain | 12 Ekor Kambing Dikorbankan (9)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Hari ini aktiviti jemaah Massnizam Group adalah aktiviti bebas. Jadi, berbagai aktiviti yang dilakukan para jemaah pada hari ini antaranya terdapat jemaah yang melakukan Umrah setelah mengetahui cara dan tempat miqat ihram. Selain itu, ada yang membuat tawaf sunat di kaabah, i'tikaf di Masjidil Haram, baca al-Quran, solat sunat dan juga ada yang mengambil kesempatan untuk membeli pakaian jubah, buah tangan dan cenderahati untuk dibawa pulang. 

Manakala para petugas Massnizam Group pula telah pergi ke ladang kambing untuk sembelihan aqiqah. Sebanyak 12 ekor kambing telah disembelih untuk tujuan aqiqah dan dam. Daging kambing ini akan dimasak dan dibuat jamuan makan kenduri untuk para jemaah nanti. Kenduri tersebut akan dilaksanakan pada malam ini disamping membuat doa selamat dan sambutan hari lahir jemaah.










Nantikan hasil daging kambing ini dalam aktiviti kami pada malam ini dan gambar-gambar semasa kenduri jamuan dijalankan..InsyaAllah. ~Kembara Sufi Memetik Redha Ilahi~

Road To Haramain | Wahyu Pertama Di Gua Hira (9)

Seperti yang dijanjikan semalam, kami akan menceritakan sejarah ringkas Nabi SAW yang sering ke gua Hira, Jabal Nur. Jika ada jemaah yang ingin mendaki Jabal Nur atau Gua Hira, bayaran tambahan akan dikenakan untuk perkhidmatan penunjuk jalan. Masa yang diperlukan untuk naik juga lebih lama daripada turun. 



Gua Hira, Jabal Nur

Gua Hira yang terletak di Jabal Nur adalah sebuah gua yang sangat terkenal dalam sejarah Islam, kerana di dalam gua itulah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul, dan di situ pula turunnya ayat Al-Qur'an yang pertama surah [Al 'Alaq 1-5]. Gua kecil ini terletak di puncak gunung Jabal Nur, di bahagian utara Mekah, sekitar 5 km dari Masjidil Haram, di sebelah kiri perjalanan menuju Arafah. Tinggi puncak Jabal Nur adalah sekitar 200 m. Bentuk gunung ini dilihat berdiri tajam. Disekelilingnya terdapat sejumlah gunung, bukit batu dan jurang.

Bentuk Gua Hira agak memanjang, terletak di belakang 2 batu raksasa yang sangat dalam dan sempit, tidak dapat dilalui lebih dari satu orang. Di dalam gua hanya boleh memuatkan kira-kira 5 orang saja, dan sekadar cukup untuk tidur 3 orang secara berdampingan. Tinggi gua hanya setinggi orang berdiri, atau sekitar 2 meter. Seandainya tidak ada bangunan yang tinggi di Masjidil-Haram, dari mulut gua bahagian belakang dapat dilihat Ka'bah (Masjidil Haram). Meskipun dalam syarat berhaji tidak dimestikan untuk pergi ke Gua Hira, namun pada musim haji banyak jemaah haji mengambil kesempatan untuk naik ke Jabal Nur, menyaksikan Gua Hira. Di kawasan gunung ini tidak terdapat sedikit tanaman pun malah tandus dan gersang. Hanya terdiri dari batu-batu besar. Mendaki puncak Gua Hira memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 jam. Keadaan di puncaknya sangat sunyi dan senyap hingga terasa menakutkan.

Beberapa tahun sebelum dan setelah menikah dengan Khadijah binti Khuwalid, Rasulullah SAW telah menjadikan Gua Hira sebagai tempat ber'uzlah untuk bertafakur, mengasingkan diri dari berbagai keruntuhan moral penduduk Mekah. Selama itu baginda juga bekerja membantu para jemaah haji yang datang ke Kaabah dengan menyediakan air minuman buat mereka. Namun baginda tidak pernah beribadah menurut kepercayaan orang Arab dikala itu, iaitu menyembah berhala yang ada di Kaabah. Rasulullah SAW sering memisahkan diri dari keramaian untuk mencari jalan keluar agar masyarakat tidak menyembah berhala.

Di gua ini menjelang usia 40, Rasulullah yang selalu bertafakur, beribadah menurut agama Ibrahim selama berjam-jam bahkan berhari-hari hanya dengan membawa bekal makanan dan minuman secukupnya. Baginda SAW pulang hanya untuk mengambil bekalan dan kembali lagi ke gua. Sepanjang bulan Ramadhan digunakan baginda untuk beribadah. Pada malam 17 Ramadhan 41H atau 6 Ogos 610M, baginda SAW melihat "cahaya" terang benderang memenuhi ruangan gua. Tiba-tiba Malaikat Jibril muncul dihadapan baginda menyampaikan wahyu Allah SWT, yang pertama, Surah Al 'Alaq (1-5).

Setelah itu dengan perasaan takut dan gelisah, baginda bergegas pulang dan berkata pada Khadijah : "Selimutkanlah Aku, Selimutkanlah Aku." Khadijah menyelimuti dan mendampingi beliau hingga hilang rasa takutnya. Setelah mendengar kisah yang sangat ganjil dialami suaminya di Gua Hira, Khadijah segera menemui Waraqah bin Naufal, anak saudara Khadijah, seorang pemeluk agama Nasrani di zaman Jahiliyah. Waraqah pandai menulis kitab Injil dengan bahasa Ibrani. Melalui dia, Muhammad SAW tahu bawa dirinya akan diangkat menjadi Nabi dan Rasul sebagaimana Nabi Musa, menerima wahyu Allah SWT melalui Jibril.

Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia sekitar 40 tahun. Beliau telah dipilih Allah SWT sebagai Rasul. Rasul terakhir yang membawa manusia dari alam kegelapan ke alam kecahayaan hidayah.