December 30, 2014

Road To Haramain | Raudhah As-Syariff (3)

Alhamdulillah, Allah masih memberikan kami nikmat pada hari ini. Syukur alhamdulillah. Hari ini kami digalakkan untuk berpuasa sunat Isnin bagi yang tidak uzur seperti yang di amalkan Nabi SAW. Dari Abu Hurairah R.A., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah Rabb al-’Alamin) pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa.” - (Hadith Hasan Gharib – Riwayat Tirmizi). Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah SAW tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menjadi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)
 

Aktiviti kami pagi ini bebas dan kami berpeluang untuk membuat aktiviti seperti i'tikaf, ziarah makam nabi, dan solat sunat di Raudhah Assyarif di Masjid Nabawi yang tidak berapa jauh daripada hotel kami. Kesempatan ini sangat kami syukuri untuk berada di Raudhah kerana ia bererti berada di taman-taman syurga. SubhanaAllah.



 



kami juga berkesempatan untuk pergi ke Masjid 7 yang terletak di sekitar Masjid al Fath. Di sinilah terjadinya peperangan antara kaum Quraisy dan Yahudi menentang umat Islam. Peperangan ini dinamakan Peperangan Khandak (Parit/Ahzab). Masjid ini merupakan gabungan dari tujuh masjid kecil, yang sebenarnya hanya enam masjid ditambah dengan Masjid Qiblatain yang dikunjungi dalam waktu yang sama sehingga disebut dengan Masjid Tujuh. 




Maidan Al-ahzab merupakan kawasan perang Khandaq iaitu peristiwa pengepungan Madinah selama lebih kurang empat minggu oleh suku-suku dalam kalangan orang Arab dan Yahudi yang bergabung, di mana ia bermula pada 31 Mac 627 M. Kekuatan pihak Gabungan dianggarkan seramai 10,000 orang, diiringi oleh 600 ekor kuda dan sebilangan ekor unta, manakala di pihak Madinah pula terdiri daripada 3,000 orang. Kami sempat mencoretkan kenangan di sana dengan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.




Allahumma solli a'la Muhammad.. Para jemaah yang berpuasa  pada hari ini mengambil kesempatan untuk berbuka di Masjid Nabawi dan menyedekahkan kurma kepada orang ramai yang turut berbuka puasa di sana bersama-sama. alhamdulillah.

bersambung...