Cuaca di Madinah sering tidak menentu kerana pada waktu siang ianya agak panas sehingga boleh mencapai 30'c dan pada waktu malam menurun serendah 15'c. Ini sangat memerlukan kepada jemaah supaya mengambil berat terhadap kesihatan masing-masing agar kesihatan mereka sihat bagi mudah melaksanakan ibadah-ibadah dan ziarah di sini.
Kami akan memberikan beberapa tips yang boleh anda atau jemaah lakukan apabila menghadapi musim sejuk mahupun cuaca sejuk panas yang berubah dan tidak menentu. Antaranya;-
- Tidak perlu mandi kerap seperti di Malaysia kerana malaysia cuaca panas dan lembab tetapi di sini panas dan kering. Cukuplah hanya sekadar selang 2,3 hari sekali untuk mandi. Begitu juga dengan anak-anak anda.
- Waktu mandi yang dicadangkan adalah pada waktu malam dan anda tidak mahu lagi keluar ke mana-mana selepas itu.
- Jangan sesekali mengabaikan pemakaian stokin kaki sepanjang masa kerana penyakit banyak menyerang melalui kaki kita.
- Ambil makanan yang berzat seperti kurma Ajwa, buah-buahan seperti limau, epal dan banyakkan minum air zamzam/ air kosong.
- Rehat dan tidur yang cukup agar tenaga dapat digunakan untuk aktiviti dan ibadah yang seterusnya nanti.
- Berdoa kepada Allah agar memberikan kesihatan yang baik kepada kita semua. Insya-Allah.
Baiklah, kami akan kongsikan beberapa aktiviti yang jemaah lakukan pada hari ini iaitu kami ke Masjid Quba', Maidan Khandak dan Muzium Madinah. Seperti yang pernah kami ceritakan di entri yang lepas, orang yang bersolat di masjid Quba' mendapat pahala seperti mengerjakan umrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah." [HR Ibn Majah].
Alhamdulillah, kami kagum dengan iltizam dan semangat yang ditunjukkan para jemaah untuk beribadah di sini. Semoga Allah memberikan kami pahala dengan apa yang kami kerjakan. Amin.
Kami juga mengambil kesempatan untuk menziarahi kawasan peperangan khandak dan mutawwif kami Ustaz Nizam turut memberikan penerangan berkenaan sejarah peperangan khandak yang berlaku semasa zaman Rasulullah SAW. Antara kata-kata yang kami ingat dari Ustaz Nizam iaitu "Sebagaimana yang mereka lakukan semasa perang-perang Badar dan Uhud, tentera Islam sekali lagi menggunakan kaedah-kaedah yang luar biasa untuk menentang musuh-musuh mereka (di Badar, pihak Muslim mengepung perigi air, dan menyekat pihak musuh daripada mendapatkan air; dalam Perang Uhud, orang Islam menggunakan bukit-bakau di sekitar Uhud dengan cara strategik). Dalam pertempuran ini mereka menggali parit bagi memastikan pasukan berkuda musuh tidak berkesan"
Persinggahan kami diteruskan untuk menziarahi ke Muzium Madinah. Di sini para jemaah diterangkan lokasi peperangan Uhud dan Khandak. Jemaah juga dapat menonton tayangan video berkenaan hijrah Nabi SAW. Di samping itu, kami dapat melihat replika masjid nabi sewaktu awal pembinaan hinggalah pembesaran dan perluasan yang dilakukan oleh khalifah selepas kewafatan nabi. Jemaah juga dapat melihat model masjid nabi dengan rumah isteri-isteri nabi disekelilingnya berserta maqam nabi bersama Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-khattab. Berkunjung di muzium ini dapat memberikan kami lebih banyak pengetahuan akan sejarah Islam yang agung. Alhamdulillah.
|
Ustaz Nizam memberi penerangan replika masjid nabi |
|
Gelagat para jemaah dengan kostum pakaian perang |
|
Kedudukan rumah dan makam nabi di masjid nabi |
Sebagai penutup entri hari ini, kami akan berkongsi dengan jemaah wanita yang sedang haid, boleh baca doa ini untuk mempercepatkan kering darah supaya dapat melakukan ibadah umrah. Insya-Allah.
|
klik pada gambar untuk paparan lebih jelas |
|
doa lain yang boleh di amalkan |